Sabar

Bila kisah tentang kesakitan yang saya tanggung dan surgery yang akan saya jalani mula tersebarluas melalui blog yang telah dibuat oleh sahabat-sahabat saya  di India, jujur saya akui saya jadi  sungguh terharu dengan perhatian insan-insan yang prihatin dan baik hati di seluruh dunia.  Sokongan dari segi kewangan mahupun kata-kata kalian, buat saya sebak. Tapi jujurnya terkadang saya juga jadi seperti tak percaya; yang dikisahkan itu dan yang disebut-sebutkan itu adalah tentang diri saya.

Pernah saja saya jadi sangat tertekan dengan kesakitan ini, pernah saya tidak mahu bangun pagi menghadap realiti, pernah saya menangis sepanjang malam. Pernah juga ketika  di atas katil sewaktu Xray diambil, saya terasa seperti mahu lari, seperti tak kuat nak hadapi semua ini. Membayangkan proses pembedahan, fisioterapi, kemudian pembedahan sekali lagi, kemudian fisioterapi…. suatu proses yang ternyata panjang, yang perlukan semangat juang yang tiada taranya! Perbelanjaan rawatan ini juga bukanlah sedikit. Tapi saya akhirnya akur, inilah takdir yang harus saya jalani. Allah tahu saya perlu melalui semua ini. Saya yakin Allah mempunyai rancangan yang baik buat saya. Saya kuatkan hati yang saya mampu melalui semua ini.

Saat ada yang bertanya tentang keadaan saya, saya katakan pada mereka bahawa saya baik-baik sahaja. Walau sejujurnya saya dalam kesakitan. Selama hampir 6 tahun saya bersama-sama dengan kesakitan ini, saya tidak mahu menjadi ‘manja’ hanya kerana kisah saya telah diketahui oleh ramai orang di seluruh dunia. Maaf, saya bukan mahu bercerita tentang kesakitan saya. Saya tidak mengharapkan simpati manusia dalam catatan ini atau dalam catatan saya yang lain. Saya berkongsi catatan ini buat mereka yang turut dikurniakan ujian yang sama dengan saya. Saya tahu ada yang hadir ke laman maya yang hina ini dengan kata carian mengenai penyakit yang saya hidapi, mengenai ujian dan hal lainnya. Mungkin coretan ini buat mereka andai ada manfaatnya dan mungkin juga coretan ini sebagai penguat buat diri saya sendiri.

Keperitan yang saya lalui membuatkan saya merasakan kecintaanNya. Saya hanyut menyebut namaNya dalam kesakitan ini. Sungguh Dia mengetahui segalanya. Dia tahu saya akan melupakanNya andai saya sihat. Saya bersyukur saya dapat merasakan nikmatnya tarbiyah pada saat saya sedang diuji kini. Dan betapa nikmat itulah yang mampu memperkecilkan segala kesakitan fizikal.

Dua hari yang lepas saya telah  menghadiri sebuah perkongsian bersama al-aseer al-muharar (bekas tahanan pejuang Palestin yang dibebaskan dari penjara Israel). Saya kagum dengan ketiga-tiga orang bekas tahanan tersebut, mereka tidak seperti bekas-bekas tahanan yang lain yang biasa kita lihat. Selalunya selepas berada 20 tahun di dalam tahanan, pasti sedikit sebanyak akan memberi kesan dari sudut emosi mereka. Tapi mereka kelihatan sangat kuat dan tabah.  Bahkan sangat giat berdakwah kepada umat. Betapa Allah mengilhamkan kepada musuh-musuh Zionis supaya memenjarakan golongan mujahid supaya berlaku lonjakan kepada pentarbiyahan mereka sehingga apabila mereka keluar mereka mempunyai kekuatan ruh dan iltizam yang tidak boleh dikekang untuk memenangkan deen Allah di muka bumi ini.

Pada satu persoalan yang ditanyakan oleh seorang makcik tentang bagaimana mereka menghadapi seksaan dan kesakitan ketika di dalam tahanan, salah seorang daripada mereka menjawab; “Ia suatu tempoh yang agak sukar. Kami juga manusia, kami juga merasai kesakitan. Tapi sebagai Muslim, kita miliki iman dalam jiwa. Imanlah yang membezakan kita dengan manusia-manusia lain. Imanlah yang mengecilkan segala ujian, dan segala seksaan. Cita-cita kami adalah akhirat. Kami mahukan mati syahid, dan mengidamkan syurga. Membayangkan syurga, segala ujian yang telah dilalui terasa bagaikan mimpi”.

Bila ditanya tentang rahsia kekuatan mereka, jawapannya ialah al-qur’an.

Setiap tahanan hanya bergantung dengan mashaf al-Quran. Sehingga ada pihak Israel yang mengatakan tahanan Hamas dengan mashaf (al-Quran) tidak akan peduli dengan apa yang berlaku – dia akan tetap sabar di dalam penjara. Terbayang di minda, betapa para rasul dan sahabat-sahabat dahulu bertahan dan kuat hanya dengan janji-janji Allah menerusi kalamNya. Sewajarnya kita juga begitu.

Saya jumpa tulisan tentang tadabur kisah nabi Allah Ayub a.s dan perihal kesabarannya ketika berjalan-jalan di alam maya. Jazakillah khair buat ukhti tersebut yang blognya sering menjadi salah satu bahan bacaan wajib saya di internet.

Bila mana kita mahu menceritakan kesabaran, kita bercerita mengenai kesabaran Ayub.

Dan (ingatkanlah peristiwa) hamba Kami: Nabi Ayub ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: ” Sesungguhnya aku diganggu oleh Syaitan dengan (hasutannya semasa aku ditimpa) kesusahan dan azab seksa (penyakit)”. (Maka Kami kabulkan permohonannya serta Kami perintahkan kepadanya): ” Hentakkanlah (bumi) dengan kakimu ” (setelah ia melakukannya maka terpancarlah air, lalu Kami berfirman kepadanya): ” Ini ialah air sejuk untuk mandi dan untuk minum (bagi menyembuhkan penyakitmu zahir dan batin) “. Dan Kami kurniakan (lagi) kepadanya – keluarganya, dengan sekali ganda ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang berakal sempurna (supaya mereka juga bersikap sabar semasa ditimpa malang). Dan (Kami perintahkan lagi kepadanya): ” Ambilah dengan tanganmu seikat jerami kemudian pukulah (isterimu) dengannya; dan janganlah engkau merosakkan sumpahmu itu “. Sesungguhnya Kami mendapati Nabi Ayub itu seorang yang sabar; ia adalah sebaik-baik hamba; sesungguhnya ia sentiasa rujuk kembali (kepada Kami dengan ibadatnya).   (Surah Assad: 41-44)

Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: “Sesungguhnya aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih mengasihani daripada segala (yang lain) yang mengasihani”. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat dari Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik).
(Surah Al Anbiya’:83-84)

Bukan mudah untuk sabar menerima ujian. Sesungguhnya kisah nabi Ayub a.s adalah kisah yang terlalu hebat. Dia bukan menerima ujian secara beransur-ansur tapi dia kehilangan segalanya dalam sekelip mata. Tapi dalam ujian yang tersangat berat itu, dia mampu bersabar.

Ujian kesabaran sentiasa berbeza di antara setiap manusia. Apabila seorang pensyarah mahu menulis soalan, dia pasti menulis soalan yang mampu dilalui oleh semua calon. Kemudian ada soalan-soalan sukar yang berbeza tahap kesukarannya untuk menguji dan mencari calon pelajar yang terbaik. Begitulah juga ujian-ujian Allah untuk mencari hambaNya yang terbaik.

Teringin sungguh rasanya aku untuk berkata pada Allah bahawa aku pasti mampu melepasi ujianNya tapi ternyata aku sungguh lemah.

Di dalam akhir ayat 84 Surah Al Anbiya’, Allah menyebut bahawa kisah Nabi Ayub adalah‘zikra lil’abidin’, peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Allah SWT.

Tidak mudah untuk taat kepada Allah. Hari ini mungkin bersabar menghadapi ujian tapi mungkin esok tidak. Hari ini mungkin sabar dan taat dalam beribadah tapi esok mungkin tidak. Menunaikan perintah Allah itu mudah tapi untuk taat dan sabar mengerjakannya sepanjang masa adalah terlalu sukar. Dan sungguh aku yang lemah ini tahu bahawa hal itu adalah terlalu sukar dan tiadalah aku mampu melakukan semua itu tanpa pertolongan Allah.

Ya Allah, aku ingin menjadi orang yang sabar dalam ujian-ujian yang aku lalui dan dalam menunaikan ketaatan kepadaMu.